“AYAH, IBU KATE AYAH BELI ROTI CANAI, MANA?”

Terkebil-kebil si ayah. Nak layan atau tak kakak sulong ni, sebab si kecik nangis pulak. Meronta-ronta mintak dukung.

“Ayah.. mana dia roti canai. Ayah lupa ke?”

Ayah tepuk dahi tanda kesal kerana terlupa. Baru aje sampai rumah. Dah kena sergah. Ayah tetap mendukung si Adik yang nak bermanja.

“Allahuakbar, Kaklong.. Haah ayah lupa. Maaf ye. Nanti ayah belikan”

“Ala.. ayah ni. Asyik lupee aje. Semalam pun macam tu. Kalau sebelum-sebelum ni ayah tak pernah lupe pun”, menjawab kaklong, sebelum dia lari masuk bilik, dan hempas pintu.

Si ayah tarik nafas..dalam-dalam. Sabar! Geram dengan piil Kaklong yang memberontak aje sekarang ni.

Ayah lepas nafas perlahan-lahan. Tak nak si adik dalam dukungan terkejut.

Tak lama kemudian dengar tangisan Kak Long dari dalam bilik.

Ayah nak bangun, tapi berat pulak badan. Rupanya adik dah terlentok kat bahu. Lena.

Perlahan-lahan ayah bangun juga, ke bilik. Ayah letak adik atas katil dengan cermat, takut adik terjaga. Badan adik dedar. Macam nak demam.

Ayah duduk di sisi adik. Sambil membuka stokin kerja, ayah merenung adik yang dah nyenyak tidur tanpa sempat makan malam.

“Adik pula demam”.

Dah 2 minggu berturut-turut nih anaknya demam bergilir.

Minggu lepas kakak. Minggu ni adik pulak ke? Aduhai.. letih. Takkan Ayah nak ambil cuti lagi. Kalau ada ibu kan senang.. Ibu jaga sendiri anak-anak kat rumah. Makan pakai dan hantar-jemput pulang anak ke sekolah pun ibu buat.

Berbaju kerja yang belum ditukar, ayah gegas ambik wuduk. Solat Asar yang tempoh waktunya tinggal 45 minit aje lagi.

Usai solat, ayah terus ke bilik Kak Long, nak suruh mandi. Ayah nak ajak solat magrib.

Ayah bukak pintu bilik Kak Long perlahan-lahan. Nampak Kak Long tengah menangis sambil peluk bantal ibu.

Ayah tahan sebak.. ayah tahu, anaknya nan sorang ni terlalu rindukan ibunya

Waktu awal-awal haritu, anak-anak macam ok lagi.. Belum tanya-tanya mak sangat. Bila ayah jawab begitu begini, anak boleh terima.

Lagipun selesai aje kenduri arwah tu, kaklong dan adik duduk dengan makcik dan nenek bergilir-gilir sementara ayah nak uruskan segalanya tentang ibu dan mencari pengasuh baru anak-anak.

Lepas tu bila semua dah balik ke rumah sendiri.. macam-macam piil. Pening Ayah dibuatnya.

Kadang-kadang Kaklong pujuk adik bila adik tercari-cari ibu.

Kadang-kadang Kaklong telefon henfon ibu, dan jawab sendiri.

Minggu lepas tu kaklong mesej sesuatu.. kaklong mesej pada ibu..

“Ibu, kaklong rindu ibu.. adik pun rindu ibu..
Adik selalu tanya ibu..
Haritu adik marah kaklong buatkan susu adik, dia nak ibu yang buatkan”

 

“Ibu.. kaklong demam”

 

“Ibu.. Kaklong tak larat. Tadi kat sekolah Kaklong makan nasi lemak. Kaklong teringat nasik lemak ibu. Kalau dulu Kaklong makan nasi lemak ibu buat, mesti nak tambah lagi. Tapi tadi Kaklong tak boleh nak habiskan.. sebab Kaklong teringat ibu. Kaklong tak habis nasi tu.. sebab…

Air mata Kaklong jatuh dalam nasi. Kotor lah kan ibu. Kaklong terpaksa buanglah nasi tu. Ni Kaklong lapar lah ibu. Kaklong nak makan nasi lemak ibu buat”

 

Ibu.. Kaklong rindu ibu. Kalau lah ibu boleh balik sekejap pun Kaklong bersyukur. Kaklong akan peluk ibu..?”

 

Banyak jugak Kaklong tulis dalam mesej tu. Boleh dikatakan setiap kali Kaklong rindu atau adik yang umur 3 tahun tu buat hal, kaklong akan pujuk adik yang sedang rindu ibu..lepas tu mesti kaklong akan tulis dalam mesej, hantar kat telefon ibu.

Ayah pun dapat bayangkan, betapa payahnya anaknya yang sulong ni, tahan perasaan, cuba kuat depan adik waktu adik meraung dan buat hal nakkan ibu. Walhal kaklong baru 7 tahun. Kaklong sendiri pun rindukan ibu.

Ayah kerja. Sibuk selalu. Balik kerja bergegas ambil anak-anak dari rumah ummi (pengasuh).

Ayah pun bukan selalu dapat cek henfon arwah ibu, isteri tersayang. Bila balik rumah macam-macam ayah kena buat. Sibuk sampai waktu nak tidur. Kadang-kadang aje Ayah cek jugak la telefon ibu..

Tengok-tengok kalau ada mesej masuk. Atau balas mesej kenalan arwah ibu, yang tak tahu ibu dah tiada.

Ada jugak yang mesej doa-doa dan ucapan takziah selepas tahu kematian ibu.

Allahu.. beratnya ujian Kaklong adik beradik. Berat juga ujian untuk ayah menanggung 3 orang anak-anaknya ni..

Lain benar ragam semuanya bila tak ada lagi ibu di sisi.

Rindu.. rindu yang teramat perit bila terpaksa menahan rindu pada Ibu. Rindu ibu.. tapi tahu takkan dapat jumpa ibu lagi..?

“Kak Long…” Panggil ayah berhati-hati. Suara ayah pun perlahan aje.

“Eh, dah la tu.. tak nak nangis-nangis. Tak elok. Bangun jom.. Kita siap-siap. Waktu pun nak masuk magrib dah ni. Jom kaklong. Dah tuuu..”

Ayah goncang lembut bahu Kaklong. Ayah pujuk memang lembut. Tak macam arwah ibu. Garang, kuat bebel bila kami tidur petang ke senja.

Kaklong bangun. Walaupun masih merajuk, Kaklong akur. Bingkas ambil tuala. Terus ke pintu.

Hampir-hampir Kaklong terlanggar kepala kat rangka pintu sebab mata kabur penuh air mata lagi.

Ayah geleng kepala tengok gelagat Kaklong.

“Jangan lama-lama dalam bilik air tu. Tak baik berlama-lama dalam bilik air” pesan ayah.

Kaklong terus teringat ayat tu.. Ya! Itu ayat ibu. Ibu selalu pesan macam tu..

Ibu selalu bebel pada Kaklong dan adik bila suka berlama-lama dalam bilik air. Nyanyi-nyanyi pulak tu.

“Kaklong… Jangan lama-lama dalam bilik air tu. Berapa kali ibu cakap.. Tak baik berlama-lama dalam bilik air. Jaga akhlak. Eh, nyanyi-nyanyi pulak dah dia dalam bilik air!”

“Adik.. taknak main air.. tak nak bazirkan air. Allah tak sayang kalau kita suka bazir air. Bazir air ikut perangai syaitan”

Terngiang-ngiang bebelan ibu. Macam terdengar saat ni pun, ibu tengah bebel lagi sekarang ni.

Kaklong cepat-cepat kesat air mata. Astagfirullah.

Kaklong mandi cepat-cepat, siap pakai tuala dan terus ambil wuduk.

Tangan terus ditadah berdoa selepas berwuduk.

“Ibu.. masak ape?”

Seolah ternampak Kaklong, bila keluar bilik air – piil kaklong mesti tegur ibu yang sedang masak. Ibu kalau masak makan malam, selalunya sambil gendong adik baby yang duduk dalam baby-sling- terikat kat belakang badan ibu.

Allahuakbar.. beratnya dugaan. Mana-mana pergi pun asyik teringat ibu. Dalamnya rindu ini pada ibu.

Ibu memang kuat berleter pada kami adik beradik.

Sebabnya ibu selalu nak kami jadi orang yang baik akhlak dan budi pekerti. Hatta waktu berseorangan dalam bilik air dan tandas.

Kata Ibu, mesti jaga akhlak. Yang membezakan antara orang baik beragama Islam dan orang baik yang bukan Islam adalah akhlaknya yang mulia dan sentiasa ingat Allah sentiasa melihat. Allah Maha Melihat.

Sekarang dah tak dengar lagi bebelan ibu. Rindunya..

Rumah walaupun bising hiruk pikuk suara adik-adik. Tapi tetap sunyi tanpa suara ibu..

Al-fatihah buat ibu yang dirindui..

Ibu..

Waktu ibu ada dulu.. apa sahaja yang anak-anak nak makan ibu masak. Yang nak ayah belikan, ibu jadi tukang pesan anak-anak nak apa. Ayah akan beli dan bawa balik, makan sama-sama. Kadang-kadang berebut kami adik beradik. Time tu boleh dengar ibu berleter lagi.. hihi.

Ibu.. sekarang ni ayah selalu lupa-lupa. Kaklong tahu Ayah pun rindu ibu. Walaupun ayah jaga kami tak macam ibu jaga kami. Tapi ayah bersungguh-sungguh jaga kami. Kesian ayah. Ayah letih balik kerja. Kaklong minta pula ayah belikan roti canai untuk kaklong.

 

Kalau ibu masih ada, mesti ibu yang pesan ayah beli roti canai. Dan ayah takkan pernah lupa kalau ibu yang pesan. Istimewanya ibu di hati ayah, di hati kami semua. Ibuuuuu..?

Usai solat Magrib dengan ayah. Terus Kaklong salam dan peluk ayah. Teresak-esak suara kaklong.

“Ayah.. kaklong minta maaf. Kaklong banyak menyusahkan ayah. Kaklong nangis tadi tu sebab rindu ibu. Adik pun rindu ibu. Adik asyik nangis aje. Kaklong tahu, ayah pun rindu ibu kann?”

“Ayah.. Tadi tu kan, baru Kaklong ingat, Kaklong tak pesan pun ayah beli roti canai. Kaklong yang silap. Kaklong ingat kaklong ada pesan roti canai kat ayah semalam. Tapi mana ada. Kaklong tak pesan pun. Bila ayah balik tak bawak roti canai, terus Kaklong marah ayah pula. Maafkan kaklong ayah.. Kaklong dah buat ayah keliru dan sedih” Terus kaklong sembam wajah kat riba ayah.

“Tak apa Kaklong. Ayah faham kaklong terbawa-bawa sebab rindukan arwah ibu. Kalau dulu Kaklong selalu tunggu Ayah bawak balik roti canai.. mesti sama-sama makan berebut-rebut dengan adik dan ibu. Best kan waktu tu” Senyum ayah sambil usap kepala kaklong.

“Kaklong.. ayah bangga dengan kaklong. Selalu jaga  adik, dan tabah selalu pujuk adik bila adik mwragam nak ibu.”

“Setiap kali kaklong rindukan ibu.. jangan bermenung lama. Sebab bila kita bermenung dan bersedih lama-lama, syaitan akan menguasai hati dan fikiran kita”

“Semua orang akan mati. Itu janji Allah. Cuma kita tak tahu bila hari kita pula”

“Kaklong rindu ibu, memang bagus. Tapi bila-bila kaklong rindukan ibu jangan terus menerus bersedih.. teruslah istifar. Hadiahkan alFatihah untuk ibu. Baca quran. Dan selalulah sebut lahaulawalaquwataillabillahil aziim. Kalau boleh, terus ambil wuduk dan solat hajat agar ibu dilindungi dan sentiasa dirahmati Allah”

Kaklong yang dah mula meleleh air mata, angguk lagi. Tak mampu bercakap sepatah pun. Taknak ayah tahu kaklong nangis lagi.

“Mudah-mudahan Allah pelihara ibu, pelihara kita yang masih hidup untuk jaga diri kita dan iman kita. Supaya tak tewas oleh Syaitan” Kata Ayah sambil angkat kepala kaklong. Ayah kesat air mata kaklong. Telekung kaklong pakai basah dengan air mata.

Ayah pesan lembut,

“Doakanlah ibu selalu tau. Sebab doa anak yang soleh akan diterima Allah untuk bantu ibu dalam kubur. Kaklong nak jadi anak yang solehah kan?”

Kaklong angguk lagi.

“Doakan ibu ya sayang. Kaklong sayang ibu kan?! Jadi kaklong mesti ajar jugak adik-adik untuk banyak-banyak zikir, berdoa dan berselawat. Semua tu bekalan untuk ibu” Ayah masih senyum. Menyusap-nyusap kepala Kaklong.

“Kejap lagi kita keluar ya. Kita beli roti canai, bungkus bawak balik rumah. Kita makan kat rumah aje lah ye kaklong..boleh?” Senyum ayah.

Masih cuba pujuk kaklong. Kaklong angguk.

Waktu lipat sejadah, dah dengar suara adik yang dah bangun tidur. Jalan pun terhoyong hayang. Digesek-gesek matanya.. disembamkan badan ke ribaan Ayah. Adik baby dalam buaiyan pun dah merengek.. Alhamdulillah.. Nampaknya semua dah bangun, dah lapar lah tuu.

Ayah belum pandai masak macam ibu masak. Jadi kebanyakan hari ayah akan beli kat kedai dan makan sama-sama di rumah. Lebih mudah nak mengawal anak-anak berbanding makan di kedai.

Dekat 6 bulan arwah ibu pergi. Barulah kami dapat merasa nasi goreng ayah yang sedap. Ayah pun dah pandai buat roti canai sendiri. Belajar demi anak-anaknya.?

Terima kasih ayah. Jasa ibu dan ayah kami takkan pernah lupa. Didikan agama yang ibu dan ayah terapkan akan sentiasa kami jaga, kami amalkan dan kami warisi pada anak-cucu kami.

Semoga Allah lindungi dan rahmati ibu.. rahmati Ayah. Rahmati kami semua.

 

Yang benar,

Yang merindui arwah ibu, dan arwah ayah,

Yang menunggu masa kelahiran anak pertama,
Yang menanti suami dan adik-adik yang lepak kat kedai menonton bola, dan harapnya tak lupa bawa pulang roti canai kegemaran semua.

 

Sekian..Lahaulawala quwataillahbillahilaliil aziim.

_____KAK LONG_____